Kenapa Restoran Mamak Popular

Siapa yang tidak kenal restoran mamak. Semua orang pernah ke sana kerana restoran mamak terdapat di mana sahaja. Restoran mamak diuruskan oleh kaum India Muslim dan menyajikan makanan halal kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Siang atau malam sama sahaja. Sentiasa penuh dengan pelanggan. Antara restoran mamak yang terkenal ialah rangkaian restoran Kayu Nasi Kandar, Pelita Nasi Kandar dan sebagainya. Malah ada juga restoran mamak yang melebarkan cawangannya hingga ke Brunei dan Australia.




Bagi masyarakat Malaysia, terdapat pelbagai daya tarikan di restoran mamak yang berterusan menjadi hotspot mereka.


Teh Tarik
Restoran mamak amat terkenal dengan kerana teh tarik. Teh tarik merupakan campuran teh dan susu yang disediakan dengan ‘menarik’ teh berkenaan menggunakan dua buah kole. Aktiviti ‘tarik-menarik’ ini menyebabkan terjadinya buih di atas teh tersebut.


 



Three Layer Tea
Teh tiga lapisan ini terdapat di kebanyakan di restoran mamak. Tiga lapisan teh ini terdiri daripada gula Melaka di bawah sekali, susu cair di tengah dan teh tarik di bahagian atas sekali. Rasanya seperti cendol, teh tarik dan lemak manis.




Roti Bakar
Hidangan ini amat popular sama ada di waktu pagi mahupun petang. Ianya ialah sekeping roti yang disapu dengan kaya dan dibakar. Biasanya roti ini dipesan bersama telur separuh masak. Hidangan ini sedap dimakan bersama minuman panas atau suam. Buat sendiri kat rumah pun boleh, tapi mamak jugak yang sedap.


Roti Canai
Hidangan yang pasti menjadi permintaan hangat di restoran mamak ialah roti canai. Roti yang dibuat daripada tepung ini kadang-kadang dimasak bersama telur, pisang, sardin dan sebagainya berdasarkan permintaan pelanggan. Namanya berubah mengikut bahan yang digunakan bersama untuk memasaknya.  Tidak sah singgah ke restoran mamak jika tidak memesan roti canai. Ia sedap dimakan bersama kari, dhal dan sambal cili.



Roti Tisu
Hidangan yang pasti menarik perhatian pengunjung restoran mamak ialah roti tisu. Roti yang dibuat daripada tepung ini sangat ‘tinggi’ seperti sebuah gunung. Roti tisu ialah sekeping roti yang berbentuk kon yang dibentuk memanjang sehingga lima ke enam kaki panjang. Ia dimasak senipis-nipisnya dan amat garing disaluti dengan gula. Roti ini sedap dimakan dengan kari dan dal.



Roti Bom
Satu lagi makanan berasaskan tepung keluaran restoran mamak. Makanan ini tidak jauh bezanya dengan roti canai cuma ia lebih tebal dan dimasak bersama gula. Ianya sedap dimakan bersama gula atau susu pekat.


Mi Goreng Mamak
Mi goreng mamak digoreng cara mamak. Ianya kering digoreng bersama telur dan tauhu. Ada pelanggan yang minta 'add on' bila menempah mi goreng mamak seperti ayam goreng dan telur goreng mata kerbau. Sedap dimakan dengan sos cili juga cili potong. Setiap tukang masak mempunya cara tersendiri dalam menggoreng mi ini.


Maggi Goreng
Jenama mi segera Maggi merupakan salah satu masakan yang acap kali diminta oleh pelanggan. Ianya bukan dimasak seperti biasa, sebaliknya digoreng mengikut cara mamak. Biasanya mi ini digoreng bersama sayuran, tauhu, telur dan ayam mengikut kehendak pelanggan.  Tukang masak di restoran mamak mempunyai cara tersendiri untuk menjadikan Maggi goreng ini sedap dan menarik perhatian pelanggan.


Nasi lemak
Antara hidangan kegemaran di restoran mamak ialah nasi lemak. Nasi yang dimasak dengan santan dihidangkan dengan udang atau ikan bilis bersama kacang tanah yang digoreng. Nasi lemak tidak sedap dimakan tanpa sambal cili.






Kari Kepala Ikan

Mamak memang terkenal kerana skil mereka dalam masakan. Biasanya kepala ikan yang digunakan terdiri daripada ikan tenggiri dan ikan merah. Rasanya... fuhhh... sedap beb. Tapi, jangan terkejut kalau harganya melebihi harga sepotong ikan. Harga adalah berdasarkan saiz kepala ikan tersebut. Ada yang mencecah lebih daripada RM20.






Skrin Besar
Yang ni agak subjektif sikit. Pengendali restoran mamak seakan berlumba-lumba meletakkan skrin besar di tempat mereka. Dengan tayangan drama, sukan dan sebagainya, pasti ada yang ternganga menonton tayangan tersebut. Namun demikian restoran mamak di mana pun akan menjadi kunjungan ramai di musim sukan seperti lintas langsung bola sepak, Piala Dunia, Badminton dan banyak lagi sukan yang digemari oleh rakyat negara ini. Entah kenapa restoran mamak menjadi kunjungan walhal di rumah pun boleh tengok siaran langsung jugak.


Free WiFi


Bukan makanan sahaja yang digemari di restoran mamak. Kemudahan wifi yang terdapat di sini, menjadi daya penarik untuk orang ramai terus berkunjung di sini. Ramai di kalangan pengunjung menggunakan kemudahan yang disediakan sama kerana di rumah tiada sambungan internet ataupun atas urusan perniagaan. Jangan main-main, restoran mamak pun boleh jadi tempat perbincangan perniagaan. Ada restoran mamak yang mengenakan bayaran untuk penggunaan sambungan elektrik di tempat mereka. Yang free pun banyak juga.
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© 2010 - Something Happens...Just Happened